Salam sejahtera...
Alhamdulilah...
Semoga anda sentiasa sihat-sihat selalu
Amalkan 20 amalan ini sebagai salah satu cara supaya kita sentiasa dilimpahi rezeki yang halal dan diberkati.
1. Banyak beristighfar
Kita adalah hamba yang tidak lepas daripada melakukan dosa. Oleh itu sentiasalah beristighfar dan bertaubat kepada Yang Maha Esa. Bersungguh-sungguh mengakui dosa kita yang banyak di depan Allah kerana Allah sangat sayang kepada hamba-Nya yang banyak bertaubat dan beristighfar.
2. Rajin beribadah
Sentiasa utamakan Allah dalam setiap urusan kita. Rajin beribadah kepada Allah adalah salah satu cara kita sentiasa menyempatkan diri untuk sang Pencipta. Allah tidak akan mensia-siakan pengabdian diri hamba-Nya.
3. Tinggalkan perbuatan berdosa
Jika kita beristighfar tetapi masih mengulang perbuatan dosa, takut-takut istighfar kita tidak diterima oleh Allah. Dosa akan membuatkan hati menjadi resah, malah akan menutup pintu rezeki. Oleh itu segera tinggalkan segala perbuatan yang berdosa.
4. Sentiasa mengingati Allah
Berbanyaklah mengingati Allah kerana ia akan membuatkan hati menjadi tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah berikan kepada orang yang beriman.
Doa Mohon Rezeki Halal |
5. Berbakti dan mendoakan kedua ibu bapa
Dalam hadis riwayat dari Imam Ahmad, Nabi Muhammad SAW berpesan, agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahkan rezeki, hendaklah berbakti kepada ibu bapa dan menyambung tali kekeluargaan.
6. Memenuhi keinginan orang lain
Menunaikan dan memenuhi kehendak atau keinginan orang juga menjadi sebab Allah SWT melapangkan rezeki dengan cara tercapainya hajat atau keinginan kita sendiri.
7. Berbuat baik dan membantu orang yang dalam kesusahan
Ia termasuk menggembirakan dan membahagiakan orang tua, orang yang sakit, anak yatim, fakir miskin, isteri dan anak-anak yang masih kecil.
8. Banyak berselawat ke atas Nabi SAW
Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dapat menghilangkan keresahan, kesedihan, kesukaran dan meluaskan rezeki dengan izin Allah SWT.
9. Berpagi-pagi
Rasulullah SAW pernah bersabda amalan berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaiknya selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
10. Buat kebajikan sebanyak-banyak yang boleh
Selagi kita masih bernafas di bumi Allah, cubalah buat kebajikan sebanyak yang boleh. Ibnu Abbas berkata: "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk lain."
11. Menjalinkan silaturahim
Baginda SAW bersabda: "Barangsiapa ingin dilapangkan rezeki, dilambatkan ajal, maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (Riwayat Bukhari)
12. Rajin bersedekah
Amalan bersedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah membukakan pintu rezeki.
13. Sentiasa dalam keadaan berwuduk
Sentiasa biasakan diri dalam keadaan berwuduk kerana Nabi SAW ada bersabda: "Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki." (Diriwayatkan dari Sayidina Khalid al-Walid)
14. Bersolat malam (tahajud)
Membiasakan diri untuk bangun bersolat malam (tahajud) kerana ia memberikan seribu kebaikan kepada yang rajin mengamalkannya.
15. Biasakan solat Dhuha
Solat Dhuha biasanya dilakukan di saat manusia sibuk dengan urusan dunia. Amalan ini mempunyai rahsia tersendiri yang luar biasa.
16. Amalkan berzikir dan bacaan ayat Al-Quran
Zikir daripada ayat-ayat al-Quran atau Asma'ul Husna selain dapat menenangkan hati manusia, malah dapat menjernihkan perasaan. Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika dibaca selalu.
17. Sentiasa bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah SWT. Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya akan Aku tambahkan nikmat-Ku kepadamu, dan jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Surah Ibrahim, Ayat 7)
18. Berikhtiar
Rajinlah berikhtiar dan berusaha. Orang beriman tidak pernah jemu berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal dan diberkati.
19. Berdoa
Doa adalah senjata orang mukmin. Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah SWT. Kita wajib bergantung dan mengharap hanya kepada Allah supaya dikurniakan rezeki dan rahmat dari-Nya.
20. Bertawakal
Dengan bertawakal, seseorang itu akan dikurniakan rasa kaya oleh Allah SWT. Rasulullah SAW juga bersabda: "Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pada waktu pagi hari lapar namun petang hari ia telah kenyang." (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Salam ukhwah ...
Terima kasih Singgah di sini. Segala komen anda dimanfaatkan dan dihargai.
Salah silap mohon maaf ye...